KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa terdapat tujuh hingga lapan Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) akan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

Beliau yang pada 28 Nov lalu mengisytiharkan sokongan kepada sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua Ahli Parlimen PN itu daripada beberapa negeri yang sememangnya dari kawasan majoriti Melayu.

"Dulu saya kata ada lima hingga enam orang, tetapi sekarang ada tujuh hingga lapan orang. Tunggu masa dan lihat saja. Akan ada pengumuman daripada mereka yang akan menyokong Kerajaan MADANI.

"Sekarang saya tidak boleh cakap lagi. Ada yang berhubung dengan saya dan ada juga yang berhubung melalui orang lain," katanya pada satu sidang media di Puchong, hari ini.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz turut mengesahkan beliau telah menerima peruntukan selepas pengisytiharan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut berharap pengisytiharan itu juga akan memberikan kelebihan untuk meluluskan beberapa lagi permohonan untuk pembangunan kawasan Parlimen Bukit Gantang. 

[TERKINI] 7-8 lagi Ahli Parlimen PN akan isytihar sokong Kerajaan Madani - Ahli Parlimen Bukit Gantang


"Permohonan saya sudah buat. Malah, setiap permohonan saya buat di Parlimen. Dan saya sedang follow up permohonan pertama saya, íaitu sekolah menengah khas (RM70 juta), telah pun diluluskan, bergantung kepada proses tender.

"Beberapa jalan utama telah pun diperbaiki dan Menteri Kerja Raya pun bersetuju untuk melihat sendiri keadaan di jalan raya kawasan saya. Begitu juga dengan masalah banjir, kementerian juga bersetuju melihat sejauh mana boleh dipanjangkan, khususnya kerana kawasan saya ini di pinggir bandar.

"Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa, baru-baru ini, (diterajui) Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga mempertimbangkan permohonan-permohonan yang telah saya kemukakan.

"Iaitu untuk menyelesaikan masalah jalan-jalan desa dan jalan kampung serta lampu-lampu jalan untuk membangunkan kawasan Parlimen Bukit Gantang," ujarnya. 


Ada yang mengaibkan tindakan saya menyokong PM - YB Bukit Gantang




Ditanya sama ada beliau telah diambil tindakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, masih tiada sebarang tindakan.

"Saya masih lagi ahli parti dan belum pun apa-apa tindakan dibuat. Pertama, saya tidak langgar peraturan parti kerana di dalam perlembagaan parti tidak melarang untuk sokongan dibuat.

"Cuma, mungkin kepimpinan akan membawa ke Jawatankuasa Disiplin untuk memutuskan apa bentuk tindakan yang boleh diambil. Saya bersedia," ujarnya.

Beliau turut menegaskan tidak akan mengambil keputusan untuk keluar daripada Bersatu mahupun meletakkan sebarang jawatan yang disandangnya.